Adakah kita sebagai suami mahupun isteri mempunyai sifat
romantik kepada pasangan? Ketahanan suami isteri dalam melayari bahtera
kehidupan semestinya berpaksikancinta yang dijulang bersama selain bersandarkan
kepada cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Perjanjian setia yang dimahkotakan
bersama sebelum lafaz ijab dan qabul adalah bukti keabadian cinta pasangan
suami isteri biar pun terpaksa menempuh badai ujian yang semestinya akan
dilalui,namun ia tetap utuh berdiri.
Pernahkah kita sedari dalam melayari bahtera rumahtangga ,
tumpuan suri teladan kita semoleknya terarah kepada denai yang telah direntasi
oleh junjungan Besar Nabi Muhammad SAW , biar pun baginda dikelilingi dengan
pelbagai tanggungjawab besar menjadi perantara ummah dengan pencipta-Nya , baginda
mampu memberikan ruang selesa kepada pasangan – pasangan hidup baginda. Hebat
dan agongnya cinta Rasulullah SAW sebagai suami jauh di luar jangkaan pemikiran
kita sebagai ummatnya. Walau pun begitu , tidaklah begitu sukar dan sulit untuk
kita menjejaki setiap langkah dan contoh yang telah diamalkan oleh baginda
dalam kehidupan rumahtangga.
Menjalani kehidupan sebagai suami isteri tiada yang lebih
indah dan romatiknya bila mana suami dan isteri tidak kekok untuk menikmati
makanan dari satu bekas atau pun suami memakan makanan lebihan isteri dan
sebaliknya , maka itu sudah cukup untuk membuktikan tiada lagi perasaan ‘tiada
selera,jijik dan sebagainya’ disebabkan cinta yang ikhlas dan suci sudah pun
mantap berpadu. Memanglah tindakan sedemikian tiadalah hinanya jika diamalkan
kerana ia juga merupakan amalan junjungan besar Nabi SAW dengan para isteri
baginda. Ini dapat dibuktikan kepada hadis Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan
bahawa ”Aku minum air daripada satu bekas, ketika itu aku sedang berhaid, lalu Nabi
SAW mengambil bekas minumanku itu dan meletakkan mulut baginda pada tempat aku
meletakkan mulut pada bekas tersebut”.
Paparan hadis ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi
SAW tidak menjadikan bekas mulut isterinya sebagai jijik, walapun ketika itu
isteri Baginda sedang berhaid. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan jika
diperhatikan kepada hadis lain, didapati baginda juga makan makanan dari kesan
gigitan isteri.”Aku mengigit sepotong daging, lalu sisa gigitan itu diambil
oleh Nabi SAW, lalu baginda pun mengigitnya pada bahagian yang aku gigit tadi”
Masyallah,betapa romantiknya Nabi SAW dengan isteri baginda
dan ia tidaklah begitu mustahil buat kita sebagai pengikut baginda untuk
melakukan perkara yang sama. Dengan pengamalan sedemikian tidak sedikit pun
menjejaskan kemuliaan dan ketinggian martabat dan darjat sebagai pesuruh Allah
SWT.
Inilah tujuan dan objektif suci Islam menyeru penganutnya
supaya memuliakan pasangan dalam erti kata menghormatinya. Tiada apa yang
ruginya jika kita semua melakukan perkara sedemikian malah ianya dapat
memberikan kesegaran yang berpanjangan dalam lingkungan rumahtangga sungguh pun
sesebuah perkahwinan itu telah mencecah ke usia yang agak lama. Seandainya
amalan sedemikian dapat kita jadikan amalan dalam kehidupan berumahtangga maka
ia sudah pasti sedikit sebanyakmembantu memperkukuhkan sesebuah institusi
perkahwinan dan sekaligus menutup lubang bencana yang membawa kepada perpisahan
dan perceraian.
Diambil dari blog http://penpatah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment